Sejarah Hidup Imam Al-Ghazali

Al-Munqidh Min ad-Dalal

Al-Munqidh Minad-Dalal

Telah bercerita al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī di dalam kitabnya yang bernama al-Munqidh  Minađ-Đalāl:

Telah menjadi nyatalah kepadaku bahawa aku tidak akan mencapai kebahagian akhirat, melainkan dengan bertaqwa, dan juga mengekang kehendak nafsu.
Dan yang utama sekali ialah memotong tali ikatan hati kepada dunia, dengan meninggalkan negeri yang penuh tipu daya ini, dan kembali ke negeri yang kekal abadi.
Dan mengadap kepada Allah Ta‘ala dengan sepenuh hati.
Dan ini tidak akan tercapai, melainkan dengan membuangkan dahulu segala kemegahan dan kekayaan, serta menjauhkan diri dari segala kesibukan dan tuntutan dunia (al-’alā’iq).
Kemudian aku telah memeriksa keadaan diriku sendiri.
Maka aku dapati rupa-rupanya aku telah terperangkap di dalam jaring pada setiap arah.
Dan apabila aku periksa pula pekerjaanku di dalam memberi kuliah dan ceramah, rupa-rupanya aku telah berkecimpung di dalam ilmu-ilmu yang tidak penting, dan tidak bermanfaat di jalan akhirat.
Setelah itu, aku berfikir pula tentang niatku di dalam memberi kuliah.
Nyatalah, aku tidak ikhlas kerana wajah Allah Ta’ala.
Malah, pembangkit dan pendorongku yang sebenar ialah mencari kemegahan dan kemasyhuran yang luas.
Maka, aku pun yakin yang aku sedang berada di pinggir satu jurang yang merbahaya.
Dan aku akan segera terjunam ke dalam api neraka, melainkan aku perbaiki keadaan diriku terlebih dahulu.

Tiadalah aku berhenti daripada berfikir akan keadaanku dan jalan mana yang akan aku pilih.
Hatiku masih berbolak-balik.
Pada suatu hari, aku telah berazam untuk meninggalkan Baghdād, dan melepaskan diriku daripada keadaan hidup harian itu.
Tetapi, pada keesokan harinya, aku telah membatalkan keputusan itu.
Seolah-olah, sebelah kakiku telah melangkah ke hadapan, tetapi yang sebelah lagi telah mundur pula ke belakang!
Di pagi hari, aku telah bertekad untuk menuntut akhirat, tetapi di petang hari, tentera hawa nafsu telah datang menyerang, dan telah menghancurkannya.
Syahwat dunia telah mengurungku, dan memaksa aku tetap kekal sahaja di situ, sedangkan suara keimanan telah menyeru kepadaku, “Kembaralah! Kembaralah! Tiadalah umurmu melainkan tinggal sedikit sahaja, sedangkan di hadapanmu adalah perjalanan yang jauh.
Tiadalah engkau kumpulkan segala ilmu dan amal melainkan semuanya adalah riyak dan palsu belaka.
Jika sekarang engkau masih belum bersiap sedia untuk akhirat, bilakah masanya engkau akan bersiap sedia?
Jika sekarang engkau tidak putuskan tali belenggu itu, bilakah masanya untuk memutuskannya?”
Dan ketika seruan seperti ini bangkit, maka azam dan tekadku pun naik berkobar-kobar, rela menghadapi setiap cabaran dan rintangan.
Tetapi kemudian, datang semula syaitan dan berbisiklah dia, “Ini adalah satu perkara yang mengganggu-ganggu sahaja, jika engkau menyerah kepadanya.
Biarkan sahaja. Ia akan hilang dengan segera. Jika engkau turuti ajakannya, lalu engkau tinggalkan pula segala kemegahan pangkat, serta keadaan yang baik ini, yang bebas daripada sebarang kesulitan, serta keadaan aman sejahtera yang bersih daripada perselisihan dan permusuhan, dan jika engkau turutinya, engkau akan menyesal, dan engkau akan menanggung kesukaran. Engkau tidak akan dapat kembali kepada keadaan senang seperti sebelumnya.”
Dan berterusanlah keadaanku ini, di mana aku berada di antara tarikan syahwat dunia, dan tarikan panggilan akhirat.
Ia berpanjangan selama hampir enam bulan, bermula dari bulan Rejab tahun 488 Hijrah.
Pada bulan itu, aku telah berasa sudah tidak lagi berdaya, tiada lagi ikhtiarku, terpaksa menyerah sahaja.
Allah telah mengunci lidahku, sehingga aku tidak dapat mengajar.
Pada suatu hari, aku gagahi juga diriku untuk menyampaikan kuliah agar dapat menggembirakan hati para pelajarku. Tetapi lidahku telah menjadi kelu.
Aku tidak dapat mengeluarkan sepatah kata pun. Benar-benar tidak berdaya.
Dan keadaan bisu ini telah membuatku berdukacita, sehingga telah menjejaskan kekuatan pencernaan di perutku, dan menyekat makanan dan minumanku.
Roti yang dicecah kuah pun tidak dapat aku kunyah, dan tidak dapat aku telan makanan walaupun sesuap.
Aku menjadi semakin lemah, sehingga para doktor yang merawatiku pun telah berputus asa, dan telah berkata mereka, “Perkara in berpunca dari kalbu.
Dari situ, ia telah merebak hingga ke seluruh badan. Dan tiada cara untuk mengubatinya, melainkan melaluinya juga. Buangkanlah rahsia yang telah menghasilkan segala duka nestapa ini.”
Akhirnya, setelah menyedari akan betapa lemahnya diriku, setelah kehabisan segala ikhtiarku, aku pun berserah bulat-bulat kepada Allah Ta‘ala.
Dia telah memperkenankan doaku, kerana Dialah Tuhan yang memperkenankan doa orang yang terdesak, apabila orang itu berdoa kepadaNya.
Kini, menjadi ringanlah bagi hatiku untuk meninggalkan segala kemegahan, kekayaan, anak-anak dan rakan-rakan.

Oleh itu, pada bulan Zulkaedah tahun 488 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah meletakkan jawatannya sebagai pengetua di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di Baghdād, dan telah mengambil keputusan untuk meninggalkan Baghdād dan menjadi seorang pengembara.
Selama dua tahun lamanya beliau berada dalam ‘uzlah (tahun 488 H/1095 M ) di salah sebuah daripada menara-menara masjid Umayyah di Damsyik; kemudian beliau pergi ke Jerusalem untuk menjalankan ‘uzlah lagi di mana beliau melakukan tafakur yang mendalam di Masjid ‘Umar dan Qubbat al-Sakhr (The Dome of the Rock).
Selepas daripada melawat makam Nabi Ibrahim a.s. di Hebron, beliau melaksanakan hajinya ke Makkah dan pergi ke Madinah. Itu diikuti dengan amalan ber’uzlah di tempat-tempat yang mulia dan masjid-masjid, serta mengembara di padang-padang pasir. Selepas daripada sebelas tahun berada dalam pengembaraan beliau kembali ke kota kelahirannya Tus, dalam tahun 499 H/1105 M.

About bintangzohra

I am who I am and I do what I have to do. My worship, my sacrifice, my living, my dying are for HIM

Posted on January 11, 2013, in Excerpt/Petikan, Sejarah/History and tagged , . Bookmark the permalink. 3 Comments.

  1. Assalaamu’alaikum wr.wb, sahabatku Zohra…

    Sungguh menginspirasi dan mendatangkan keinsafan apabila membaca luahan hati Imam al-Ghazali tentang kehidupan ini.

    Saya selalu merenung diri, mengenangkan betapa beruntung dan mewahnya hidup yang dilalui berbanding Rasulullah SAW, ahlul baits dan sahabat-sahabat terdahulu. Mereka mampu hidup dalam keadaan sederhana, makan ala kadar untuk menggalas perut dan membanyakkan ibadah.

    Mereka juga banyak berpuasa untuk menghindarkan diri dari hubbu dunia dan bermegah-megah. Selain itu mereka rajin bermuhasabah diri terhadap dunia yang mereka lalui sehingga dunia tidak ada apa-apa bagi mereka dan mengejar akhirat sebagai kehidupan kekal abadi.

    Mudahan diri ini juga mampu untuk melakukan kebaikan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dalam segala nikmat yang dikurniakan untuk akhirat yang kekal abadi. Jadilah seperti Nabi Sulaiman yang berharta tetapi dengan hartanya dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Hanya kepada Allah SWT kita berserah diri dengan segala nikmat-NYA. Aamiin.

    Salam mesra di penghujung minggu buat Zohra dan keluarga di sana.😀

    • Mualaikum salam wr wb,

      Gembira mendapat khabar dari teman di seberang.

      Memang payah bagi kita untuk mencontohi kehidupan Rasulullah saw. Walaupun gunung menawarkan mas untuknya beliau tetap menolak kerana beliau tidak mahu kemewahan dunia. Apa yang berlaku kepada Imam Ghazali adalah kurniaan Allah, perasaan belah bagi untuk meninggalkan segalanya, Allah telah bukakan jalan utknya akhirnya beliau mendapat kesedaran.

      Walau sehebat mana ingatan kita pada Allah Taalah dalam keadaan kita mewah dan berharta, jangan lupa di akhirat kelak orang yang terakhir yg dihisab adalah diantara orang-orang yang berharta.

      Terima kasih kerana kemari Fatimah semoga kita senantiasa di dalam perlindungaNYA.

  1. Pingback: CT150. CABARAN HAJI (10): AURAT WANITA « LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s