Al -Ghazali r.a

Nama lengkapnya ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad. Dilahirkan di sebuah kampong bernama Ghazalah Thusia di kota Khurasan pada tahun 450 H (1058 m). Ayahnya bekerja membuat pakaian dari bulu (wol) dan menjualnya di pasar Thusia. Sebelum meninggal ayah Al-Ghazali mengamanahkan temannya seorang ahli tasawwuf supaya mengasuh dan mendidik Al-Ghazali dan adiknya Ahmad. Maka hiduplah Al-Ghazali dan Ahmad di bawah asuhan ahli tasawwuf itu setelah ayahnya meninggal dunia.

Semasa kecilnya beliau mempelajari ilmu fiqih di dalam negerinya sendiri pada Syekh Ahmad bin Muhammad Ar-Razikani. Kemudian pergi ke negeri Jurjan dan belajar pada Imam Abi Nasar Al-Ismaili.  Akhir sekali beliau ke negeri Nisapur dan belajar pada Imam Al-Haramaian.  Al -Ghazali dapat menguasai beberapa ilmu pengetahuan pokok seperti ilmu mantiq (logika), falsafah dan fiqih dan Imam Al-Haramain amat bebesar hati dengan kepintaran beliau dan selalu mengatakan : “Al-Ghazali itu lautan tak bertepi…….”.

Menteri Nizamul-muluk dari pemerintahan dinasti Saljuk telah melantik Al-Ghazali menjadi guru besar di Perguruan Tinggi Nizamiyah yang didirikannya di kota Baghdad pada tahun 484H selama empat tahun. Pada tahun 488 beliau telah meletakkan jawatannya sebagai pengetua di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di Baghdād, dan telah mengambil keputusan untuk meninggalkan Baghdād dan menjadi seorang pengembara.
Selama dua tahun lamanya beliau berada dalam ‘uzlah (tahun 488 H/1095 M ) di salah sebuah daripada menara-menara masjid Umayyah di Damsyik; kemudian beliau pergi ke Jerusalem untuk menjalankan ‘uzlah lagi di mana beliau melakukan tafakur yang mendalam di Masjid ‘Umar dan Qubbat al-Sakhr (The Dome of the Rock).
Selepas daripada melawat makam Nabi Ibrahim a.s. di Hebron, beliau melaksanakan hajinya ke Makkah dan pergi ke Madinah. Itu diikuti dengan amalan ber’uzlah di tempat-tempat yang mulia dan masjid-masjid, serta mengembara di padang-padang pasir kemudian ke Damaskus dan terus menetap dan beribadah di masjid Al-Umawi. Di sinilah beliau mula menulis kitab IHYA’  ULUMUDDIN. Selepas daripada sebelas tahun berada dalam pengembaraan beliau kembali ke kota kelahirannya Tus, dalam tahun 499 H/1105 M.

Sekembalinya di kampong halaman beliau mendirikan sebuah madrasah di pinggir rumahnya untuk ulama’-ulama’ fiqih dan sebuah pondok  untuk kaum sufi. Masanya dihabiskan dengan mengajar dan bersuluk. Cara hidup yang sedemikian diteruskannya sampai akhir hayatnya. Beliau meninggal dunia pada hari Isnin tanggal 14  Jamadil-Akhir 505H (1111 M) di Thusia. Jenazahnya dikebumikan di makam Ath-Thabiran. Sebelum meninggal beliau ada melafazkan kata-kata: “Ku letakkan arwah ku dihadapan Allah dan tanamkanlah jasad ku dilipat bumi yang sunyi senyap. Nama ku akan bangkit kembali menjadi sebutan dan buah bibir ummat manusia di masa depan”.

Selain dari gelaran Al-Ghazali beliau dipanggil Abu Hamid setelah beliau dikurniakan seorang anak lelaki bernama Hamid tetapi anaknya itu meninggal dunia ketika masih kecil lagi.
Al-Ghazali terkenal sebagai bapa moralis dan ahli tasawuf terkemuka kerana pegangan beliau kepada Hadith Nabi Muhammad s.a.w : “Aku diutus menjadi Nabi untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Sejarah Hidup Imam Al-Ghazali
Dari kitab Al-Munqidh  Minađ-Đalāl:
 

 Telah bercerita al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī di dalam kitabnya yang bernama al-Munqidh  Minađ-Đalāl:

Telah menjadi nyatalah kepadaku bahawa aku tidak akan mencapai kebahagian akhirat, melainkan dengan bertaqwa, dan juga mengekang kehendak nafsu.
Dan yang utama sekali ialah memotong tali ikatan hati kepada dunia, dengan meninggalkan negeri yang penuh tipu daya ini, dan kembali ke negeri yang kekal abadi.
Dan mengadap kepada Allah Ta‘ala dengan sepenuh hati.
Dan ini tidak akan tercapai, melainkan dengan membuangkan dahulu segala kemegahan dan kekayaan, serta menjauhkan diri dari segala kesibukan dan tuntutan dunia (al-’alā’iq).
Kemudian aku telah memeriksa keadaan diriku sendiri.
Maka aku dapati rupa-rupanya aku telah terperangkap di dalam jaring pada setiap arah.
Dan apabila aku periksa pula pekerjaanku di dalam memberi kuliah dan ceramah, rupa-rupanya aku telah berkecimpung di dalam ilmu-ilmu yang tidak penting, dan tidak bermanfaat di jalan akhirat.
Setelah itu, aku berfikir pula tentang niatku di dalam memberi kuliah.
Nyatalah, aku tidak ikhlas kerana wajah Allah Ta’ala.
Malah, pembangkit dan pendorongku yang sebenar ialah mencari kemegahan dan kemasyhuran yang luas.
Maka, aku pun yakin yang aku sedang berada di pinggir satu jurang yang merbahaya.
Dan aku akan segera terjunam ke dalam api neraka, melainkan aku perbaiki keadaan diriku terlebih dahulu.

Tiadalah aku berhenti daripada berfikir akan keadaanku dan jalan mana yang akan aku pilih.
Hatiku masih berbolak-balik.
Pada suatu hari, aku telah berazam untuk meninggalkan Baghdād, dan melepaskan diriku daripada keadaan hidup harian itu.
Tetapi, pada keesokan harinya, aku telah membatalkan keputusan itu.
Seolah-olah, sebelah kakiku telah melangkah ke hadapan, tetapi yang sebelah lagi telah mundur pula ke belakang!
Di pagi hari, aku telah bertekad untuk menuntut akhirat, tetapi di petang hari, tentera hawa nafsu telah datang menyerang, dan telah menghancurkannya.
Syahwat dunia telah mengurungku, dan memaksa aku tetap kekal sahaja di situ, sedangkan suara keimanan telah menyeru kepadaku, “Kembaralah! Kembaralah! Tiadalah umurmu melainkan tinggal sedikit sahaja, sedangkan di hadapanmu adalah perjalanan yang jauh.
Tiadalah engkau kumpulkan segala ilmu dan amal melainkan semuanya adalah riyak dan palsu belaka.
Jika sekarang engkau masih belum bersiap sedia untuk akhirat, bilakah masanya engkau akan bersiap sedia?
Jika sekarang engkau tidak putuskan tali belenggu itu, bilakah masanya untuk memutuskannya?”
Dan ketika seruan seperti ini bangkit, maka azam dan tekadku pun naik berkobar-kobar, rela menghadapi setiap cabaran dan rintangan.
Tetapi kemudian, datang semula syaitan dan berbisiklah dia, “Ini adalah satu perkara yang mengganggu-ganggu sahaja, jika engkau menyerah kepadanya.
Biarkan sahaja. Ia akan hilang dengan segera. Jika engkau turuti ajakannya, lalu engkau tinggalkan pula segala kemegahan pangkat, serta keadaan yang baik ini, yang bebas daripada sebarang kesulitan, serta keadaan aman sejahtera yang bersih daripada perselisihan dan permusuhan, dan jika engkau turutinya, engkau akan menyesal, dan engkau akan menanggung kesukaran. Engkau tidak akan dapat kembali kepada keadaan senang seperti sebelumnya.”
Dan berterusanlah keadaanku ini, di mana aku berada di antara tarikan syahwat dunia, dan tarikan panggilan akhirat.
Ia berpanjangan selama hampir enam bulan, bermula dari bulan Rejab tahun 488 Hijrah.
Pada bulan itu, aku telah berasa sudah tidak lagi berdaya, tiada lagi ikhtiarku, terpaksa menyerah sahaja.
Allah telah mengunci lidahku, sehingga aku tidak dapat mengajar.
Pada suatu hari, aku gagahi juga diriku untuk menyampaikan kuliah agar dapat menggembirakan hati para pelajarku. Tetapi lidahku telah menjadi kelu.
Aku tidak dapat mengeluarkan sepatah kata pun. Benar-benar tidak berdaya.
Dan keadaan bisu ini telah membuatku berdukacita, sehingga telah menjejaskan kekuatan pencernaan di perutku, dan menyekat makanan dan minumanku.
Roti yang dicecah kuah pun tidak dapat aku kunyah, dan tidak dapat aku telan makanan walaupun sesuap.
Aku menjadi semakin lemah, sehingga para doktor yang merawatiku pun telah berputus asa, dan telah berkata mereka, “Perkara in berpunca dari kalbu.
Dari situ, ia telah merebak hingga ke seluruh badan. Dan tiada cara untuk mengubatinya, melainkan melaluinya juga. Buangkanlah rahsia yang telah menghasilkan segala duka nestapa ini.”
Akhirnya, setelah menyedari akan betapa lemahnya diriku, setelah kehabisan segala ikhtiarku, aku pun berserah bulat-bulat kepada Allah Ta‘ala.
Dia telah memperkenankan doaku, kerana Dialah Tuhan yang memperkenankan doa orang yang terdesak, apabila orang itu berdoa kepadaNya.
Kini, menjadi ringanlah bagi hatiku untuk meninggalkan segala kemegahan, kekayaan, anak-anak dan rakan-rakan.

Oleh itu, pada bulan Zulkaedah tahun 488 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah meletakkan jawatannya sebagai pengetua di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di Baghdād, dan telah mengambil keputusan untuk meninggalkan Baghdād dan menjadi seorang pengembara.

 
Saat Terakhir Imam Ghazali
(450-505 H=55 tahun/1058-1111 M=53 tahun)

Imam Ghazali terjaga awal pada pagi itu dan sebagaimana biasanya melakukan solat dan kemudian beliau bertanya pada adiknya, “Hari apa hari ini?”

Adiknya pun menjawab, “Hari Isnin.”

Beliau kemudian meminta kepadanya untuk mengambil sejadah putihnya, beliau menciumnya, menebarkannya dan kemudian berbaring di atasnya sambil berkata lembut, “Ya Allah, hamba mematuhi perintah~Mu,”

…dan beliau pun menghembuskan nafas terakhirnya.

Di bawah bantalnya mereka menemukan bait-bait berikut, ditulis oleh Al-Ghazali ra., barangkali pada malam sebelumnya.

“Katakan pada para sahabatku, ketika mereka melihatku mati,
menangis untukku dan berduka bagiku.
Janganlah mengira bahawa jasad yang kau lihat ini adalah aku.

Dengan nama Allah, kukatakan padamu, ini bukanlah aku,
Aku adalah jiwa, sedangkan itu hanyalah selonggok daging.

Jasad itu hanyalah rumah dan pakaianku sementara waktu.
Aku adalah harta karun, azimat yang tersembunyi,
Dibentuk oleh debu, yang menjadi singgahsanaku,

Aku adalah mutiara, yang telah meninggalkan rumahnya,
Aku adalah burung, dan badan ini hanyalah sangkarku.

Dan kini aku lanjut terbang dan badan ini kutinggal sebagai kenangan.
Puji Tuhan, yang telah membebaskan aku.

Dan menyiapkan aku tempat di syurga tertinggi,
Hingga hari ini, aku sebelumnya mati, meskipun hidup di antaramu.

Kini aku hidup dalam kebenaran, dan pakaian kuburku telah ditanggalkan.

Kini aku berbicara dengan para malaikat di atas,
Tanpa hijab, aku bertemu muka dengan Tuhanku.
Aku melihat Lauh Mahfuz, dan di dalamnya aku membaca
Apa yang telah, sedang dan akan terjadi.

Biarlah rumahku runtuh, baringkan sangkarku di tanah,
Buanglah sang azimat, itu hanyalah sebuah kenang-kenangan, tidak lebih

Sampingkan jubahku, itu hanyalah baju luarku,
Letakkan semua itu dalam kubur, biarkanlah terlupakan
Aku telah melanjutkan perjalananku dan kalian semua tertinggal.

Rumah kalian bukanlah tempatku lagi.
Janganlah berfikir bahawa mati adalah kematian, tidak,
itu adalah kehidupan,

Kehidupan yang melampaui semua mimpi kita di sini,
Di kehidupan ini, kita diberikan tidur,
Kematian adalah tidur, tidur yang diperpanjangkan

Janganlah takut ketika mati itu mendekat,
Itu hanyalah keberangkatan menuju rumah yang terberkati ini
Ingatlah akan ampunan dan cinta Tuhanmu,

Bersyukurlah pada kurnia~Nya dan datanglah tanpa takut.
Seperti aku yang sekarang ini, akan berlaku juga kepadamu
Kerana aku tahu kau dan aku adalah sama
Jiwa-jiwa yang datang dari Tuhannya

Badan-badan yang berasal sama
Baik atapun jahat, semua adalah milik kita
Aku sampaikan pada kalian sekarang pesan yang menggembirakan
Semoga kedamaian dan kegembiraan Allah menjadi milikmu selamanya.

  1. KAMU DAPAT PASANG RUMUS NI DI SIDEBAR KAMU, NANTI JADINYA NAMPAKNYA SEPERTI YANG DIBAWAH TU…

    <a href="http://dutacipta.wordpress.com&quot; title="DENINDO DUTA CIPTA (Pasar Baru, Jakarta-INDONESIA)" target="_blank"> <img src="http://images.cooltext.com/816309.gif&quot; width="150" height="30" alt="ARSITEK DISINI" /></a>

  2. Assalaamu’alaikum

    Kalimah-kalimah mutiara yang diterbitkan dari kebijakan akal beliau telah banyak memberi nikmat hidup yang berguna kepada manusia selepasnya. Semoga kita selalu menjadikan beliau contoh dalam kehidupan yang memberi manfaat kepada orang lain.

    Salam mesra dari Sarawak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s